UUM-UNIMAS JALIN KERJASAMA BERI LATIHAN KENDALI PUSAT INTERNET 1MALAYSIA

Ditulis oleh Admin ITU on .

1

UUM-UNIMAS JALIN KERJASAMA BERI LATIHAN KENDALI PUSAT INTERNET 1MALAYSIA

UUM ONLINE: 26 Februari – Bagi memperkasakan pengurus dan penolong pengurus Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di Kedah dan Sarawak, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi tujuan tersebut di EDC-UUM, semalam.

UUM menerusi Pusat Kecemerlangan International Telecommunication Union (ITU-UUM) telah bekerjasama dengan Institute of Social Informatics and Technological Innovations (ISITI-CoERI), UNIMAS dalam memberi latihan pengurusan, pemasaran, keusahawanan dan latihan ICT yang membawa kepada pembangunan sosio ekonomi setempat.

Majlis menandatangani MoA itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato' Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak dan Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dato' Dr. Mohamad Kadim Suaidi dengan disaksikan Bendahari UUM, Haji Amron Man dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNIMAS, Prof. Dr. Kopli Bujang.

Naib Canselor UUM berkata, PI1M telah dilaksanakan sejak 2013 secara berperingkat sebagai memenuhi hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang digital antara masyarakat luar bandar dan bandar.

Menurutnya, bagi merealisasikan seruan kerajaan itu, UUM dan UNIMAS bekerjasama secara langsung dalam pembangunan masyarakat luar bandar yang akan memberi impak tinggi kepada komuniti sasaran, seterusnya pencapaian universiti dalam sumbangan kepada komuniti.

"Program Latihan PI1M ini telah dianugerahkan kepada UNIMAS pada 2012 oleh penaja MAXIS bagi tempoh 3 tahun dengan dana hampir RM 1juta.

"Menerusi program itu, sebanyak enam PI1M melibatkan tiga lokasi di Yan, Kedah yang dikendalikan ITU-UUM dan Bau di Sarawak oleh ISITI-CoERI akan menerima latihan tersebut sepanjang tempoh berkenaan," ujar beliau.

Kata beliau lagi, UUM menghargai persetujuan UNIMAS untuk bekerjasama dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk mencapai taraf masyarakat 'pintar' menjelang tahun 2020.

Tambahnya, dengan pemeteraian perjanjian itu diharap akan membuka ruang luas kepada masyarakat luar bandar untuk menikmati teknologi maklumat, malah kedua-dua pihak juga dapat manfaat dalam pemindahan teknologi, maklumat dan melestarikan PI1M sebagai pemangkin ekonomi setempat.

Sementara itu, Naib Canselor UNIMAS berkata, atas penglibatan dan sokongan positif antara UNIMAS dan UUM, ITU-UUM dipilih untuk bekerjasama dalam menjalankan program latihan itu secara seiringan dengan UNIMAS.

Ujar beliau, program tersebut akan berjalan selama dua tahun dan setakat ini ia sedang berjalan dengan jayanya.

"UNIMAS dan UUM akan terus bekerjasama rapat dengan masyarakat luar dalam jaringan teknologi untuk menangani keperluan dari aspek penyelidikan dan praktikal masyarakat terbabit.

"Saya juga yakin ISITI-CoERI dan ITU-UUM dapat mencipta nama tersendiri supaya sentiasa menjadi rujukan dan dihormati dalam bidang kolaborasi pelbagai disiplin untuk membantu komuniti terpencil dan terpinggir di rantau ini," katanya.

Hadir sama Pengarah ITU-UUM, Prof. Madya Dr. Mohd Syazwan Abdullah dan pegawai-pegawai kanan UUM dan UNIMAS.

===============================
DARIPADA:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA