ENAM UNIVERSITI BERGABUNG TINGKAT JARINGAN KAMPUS LUAR BANDAR

Ditulis oleh Admin ITU on .

ENAM UNIVERSITI BERGABUNG TINGKAT JARINGAN KAMPUS LUAR BANDAR

RCN

UUM ONLINE: Enam universiti luar bandar bekerjasama dalam Diskusi Meja Bulat Jaringan Kampus Luar Bandar: Mengenalpasti Isu Dan Cabaran Kampus Luar Bandar Dalam Merealisasikan Program Transformasi Pembangunan anjuran International Telecommunication Union, Universiti Utara Malaysia (ITU-UUM)  bertempat di Dewan Sri Angsana, EDC-UUM baru-baru ini.

Antara universiti yang terlibat dalam rundingan tersebut adalah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Diskusi bertujuan membincangkan isu semasa berkenaan masalah dan halangan dalam pengurusan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang beroperasi di kawasan luar bandar.

Menurut Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata jaringan antara universiti luar bandar ini merupakan satu usaha penting dalam meningkatkan keberkesanan penyelidikan antara IPTA di Malaysia.

Tambahnya lagi usaha ini mampu menyatukan suara masyarakat kampus luar bandar agar mendapat lebih perhatian daripada pihak Kementerian Pendidikan.

“Masalah yang dihadapi oleh kampus luar bandar adalah jauh berbeza dari kampus bandar dari segi pentadbiran, isu kewangan, pembangunan dan sosial”

“Sekurang-kurangnya kita dapat mendengar keluhan mereka dan mencari penyelesaian dengan kerjasama pihak kementerian,” katanya.

Beliau berharap kerjasama yang erat ini dapat menzahirkan hasrat kerajaan untuk memajukan sektor luar bandar negara Malaysia.

“Gabungan kepakaran antara keenam-enam universiti ini diharap mampu menghasilkan sesuatu yang berguna dan dijadikan permulaan kepada kerjasama erat antara universiti-universiti luar bandar,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim danPengarah ITU-UUM, Prof. Madya Dr. Wan Rozaini Sheik Osman.

Sumber:

UKK, UUM

Oleh: Nurul Hanis Abd Halim

Gambar Oleh: Hairul Nizam Zahari

15 Julai 2013 / 6 Ramadan 1434H