1

BENGKEL ANJURAN ITU-UUM BERJAYA MENGASAH KREATIVITI PELAJAR MELALUI TEKNOLOGI ICT

Ditulis oleh Webmaster ITU on .

09 Mei 2015 - International Telecommunication Union-Universiti Utara Malaysia (ITU-UUM) Asia Pacific Centre of Excellence for Rural ICT Development telah menganjurkan Bengkel Aplikasi Perisian Komputer Microsoft Powerpoint 2013 pada 9 Mei 2015 lalu di Mini RTC, Kampung Bongor Kudung, Sanglang Perlis. Program ini anjuran bersama daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) DUN Sanglang, Perlis, Kerajaan Negeri Perlis dan Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia (KKMM).

Program ini telah berjaya menarik seramai 35 orang pelajar berumur di antara 16 tahun hingga 18 tahun yang terdiri daripada beberapa buah sekolah di bawah DUN Sanglang, Perlis. Encik Mohd Amir Abu Seman, Pensyarah dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi UUM dan Dr Azizi Ab Aziz, Pensyarah Universiti dari Pusat Pengajian Pengkomputeran UUM dijemput menjadi tenaga pengajar dalam bengkel ini.

Bengkel itu telah berjaya menarik minat dan meningkatkan minat pelajar, mengasah kreativiti dan pengetahuan pelajar melalui penggunaan teknologi aplikasi komputer melalui perisian Microsoft Power Point.

Timbalan Pengarah ITU-UUM, Dr. Shamrie Sainin berkata, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam penggunaan ICT dalam kalangan pelajar luar bandar khususnya, selain memanfaatkan komputer riba dan tablet yang disumbangkan oleh APEC Digital Opportunity Centre (ADOC) dari Taiwan bagi menjayakan bengkel tersebut.
"Kita ingin memberi pendedahan kepada anak-anak muda di kawasan luar bandar dalam dunia teknologi yang semakin berkembang pesat supaya mereka tidak ketinggalan."

"Saya percaya melalui program sebegini, dapat memperkasakan kemahiran ICT pelajar-pelajar dalam mengaplikasi apa yang dipelajari dalam pembelajaran dan pendidikan mereka." katanya.

Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Hajah Rela Binti Ahmad, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis (Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Kebajikan Masyarakat dan Perpaduan Rakyat). Program ini juga turut dihadiri oleh Yang Berhormat Encik Khalid Ahmad, Setiausaha Politik Perlis; Yang Berusaha Puan Nor Shafawati binti Mohd Ismail, Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Perlis; Encik Shukri Che Mat Saad, Penyelaras KRT Parlimen Arau serta AJK KRT Dun Sanglang yang terlibat.

Yang Berhormat Hajah Rela Binti Ahmad mengucapkan terima kasih kepada pihak ITU-UUM dan pihak KRT DUN Sanglang Perlis kerana memilih anak-anak di kawasan berkenaan bagi menganjurkan bengkel tersebut.
Menurutnya, bengkel seumpama itu dilihat memberi faedah dan kepentingan penggunaan teknologi digital dalam kehidupan masa kini sebagai pelajar.

"Saya berharap supaya program seperti ini dapat diteruskan lagi dalam mengeratkan hubungan di antara penduduk kampung dan pihak universiti," katanya.

Sekian.

Kemaskini pada 17 Mei 2015