ITU-UUM Menghadiri ADOC Workshop 2013 di Taipei, Taiwan

Ditulis oleh Admin ITU on . Posted in Uncategorised

ITU-UUM Menghadiri ADOC Workshop 2013 di Taipei, Taiwan

Adoc1

ITU-UUM Online: Pihak  ITU-UUM telah dijemput untuk menghadiri APEC  Digital Opportunity Center (ADOC) Workshop 2013 di Taipei baru-baru ini. 10 buah negara Asia-Pasific Economic Cooperation (APEC) yang lain juga turut hadir di mana mereka juga terlibat dalam projek ADOC ini. Antaranya adalah Chile, Indonesia, Mexico, Peru, Papua New Guinea, Rusia, Thailand, Filipina dan Vietnam. Wakil negara masing-masing diberi kesempatan untuk membentangkan kemajuan pelaksanaan projek ADOC  di negara mereka.

adoc2

Selain ITU-UUM dijemput sebagai pembentang dalam projek ini di Malaysia, wakil daripada beberapa kementerian juga turut hadir iaitu Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dan wakil media. Dalam pembentangan mengenai kemajuan projek ADOC di Malaysia, Dr. Azizi Ab. Aziz, Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan Komuniti) ITU-UUM telah dijemput oleh pihak kerajaan Taiwan untuk menerangkan secara terperinci kepada peserta. Antara intipati pembentangan beliau adalah kunci kejayaan pelaksanaan program ICT dan komuniti di Malaysia, trend terkini ICT di Malaysia,  pembentukkan konsep kluster  keusahawanan dan juga dapatan penyelidikan yang telah dilaksanakan oleh pihak ITU-UUM.  Selain itu beliau juga tidak melepaskan peluang untuk mempromosikan Universiti Utara Malaysia sebagai hub pusat pengajian tinggi mengenai pengurusan terulung di Malaysia dan Kedah sebagai destinasi pelancongan kepada perwakilan negara lain. Beliau juga turut mengambil peluang ini untuk menjalinkan jaringan kerjasama bagi projek yang berpotensi untuk dijalankan di UUM dengan wakil daripada Universiti Waseda, Jepun dan juga National Chiao Tung Universiti, Taiwan.

adoc3

Bengkel selama lima hari ini tidak hanya tertumpu kepada sesi pembentangan dan percambahan idea semata-mata, malah delegasi juga dibawa melawat pelbagai kluster ICT dan keusahawan yang ditubuhkan kerajaan Taiwan. Antara destinasi yang dituju adalah Sui-Li (Perusahaan Muzium Batu Arang), Nantou Jiji (Perusahaan Cendawan), Guansi Xinpu (Lukisan Tembikar), dan Tamsui (Perusahaan Kopi Moden dan Bebola Ikan). Delegasi juga diberikan kesempatan ke Institute for Information Industry (III) untuk mempelajari teknologi nagivasi pelancong, teknik ringkas pemasaran digital, rekaan dan pelabelan produk bagi program “niche marketing”.

Setiap perusahaan ini mempunyai penerapan elemen ICT mengikut lokasi masing-masing. Kebanyakan tempat menggunakan aplikasi mudah alih yang boleh dimuat turun dalam pasaran Android dan iOS yang akan memudahkan pelanggan atau pelawat menuju ke destinasi perusahaan tanpa bantuan pemandupelancong. Ini dapat dipelajari oleh delegasi Malaysia untuk dilaksanakan dalam projek ADOC di sini. Turut hadir menyertai program ini ialah Muhammad Khairul Munawwar Ismail, Pegawai Tadbir (Hal Ehwal Komuniti) ITU-UUM.

Oleh: ITU-UUM

Gambar Oleh: ITU-UUM

29 Ogos 2013 / 22 Syawal 1434H